'Lailatul Qadar (Bahasa Arab: لیلة القدر) adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadhan. Ayat al-Qur'an diturunkan pada malam ini. Malam ini disebut di dalam al-Qur'an dalam surah Al-Qadr, dan ia lebih baik daripada seribu bulan.
Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun menurut beberapa hadis,
malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan, iaitu pada
salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29, ini
adalah pandanagn jumhur ulama' dan umat Islam. Malah ada sebahagian
kecil ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam ke
22, 24, 26, 28 atau 30 Ramadhan. Ada juga sebahagian ulama berpendapat
ia adalah tetap, iaitu pada malam ke 27. Walau bagaimanapun, antara
hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di
sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir. Majoriti Muslim
biasanya berusaha agar tidak mensia-sia malam ini. Mereka akan tekun
dan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil
beribadah sepanjang malam. Yang pasti, Lailatul Qadar atau Malam
al-Qadar ialah satu malam dalam bulan Ramadhan yang lebih baik daripada
1,000 bulan. Sesiapa yang beramal pada malam tersebut sama seperti
beramal selama 1,000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun 4 bulan, jika
mendapatnya selama 10 tahun bersamaan beribadat lebih 833 tahun, jika
mendapatnya selama 20 tahun bersamaan lebih 1,666 tahun, jika
mendapatnya selama 30 tahun mendapatnya bersamaan 2,500 tahun,
berbahagialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat Isyak berjamaah
dan solat Tarawih kerana orang yang solat Isyak berjamaah dan solat
Tarawih termasuk dari kalangan orang mendapat Lailatul Qadar, dan
Rasullah s.a.w. mengatakan sesiapa yang tidak mendapatnya dia adalah
tergolong daripada orang yang amat rugi.
1. Sejarah ringkas Malam al-Qadar: Apabila sahabat-sahabat Rasulullah
s.a.w. mengkagumi ibadah seorang umat Bani Israil yang beribadah selama
1,000 bulan, dengan beribadah pada malam hari dan berjihad pada
siangnya, lalu Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan surah al-Qadar yang
menyatakan malam al-Qadar baik daripada 1,000 bulan. Ia adalah rahmat
dan kurniaan Allah Ta’ala kepada Umat Nabi Muhammad s.a.w.
BILAKAH LAILATUL QADAR?
1. Lailatul Qadar satu malam dalam bulan Ramadhan yang tidak
diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk
mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan, terutama
malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadhan tersebut.
Waktunya dikira apabila masuk waktu Maghrib sehingga terbit fajar.
Seluruh ulama sepakat bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar,
sebahagian ulama berpendapat malam al-Quran diturunkan itu berlaku pada
17 Ramadhan, Syaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfury dalam kitab Sirah
Nabawiyyah mengatakan al-Quran diturunkan pada malam ke 21 Ramadhan.
2.
Satu kaedah mengetahuinya, kata Imam Ghazali, kebiasaannya, jika awal
Ramadhan jatuh pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatul Qadar malam ke 29,
jika hari Isnin maka Lailatul Qadar malam ke 21, dan jika hari Jumaat
dan Selasa, maka Lailatul Qadar malam ke 27, jika hari Khamis maka
Lailatul Qadar malam ke 25, jika hari Sabtu maka Lailatul Qadar malam ke
23. Tetapi kaedah ini bukanlah sesuatu yang muktamad, mungkin ia
bertepatan dengannya dan mungkin juga tidak, mungkin juga ia berlaku
pada malam yang genap, kerana bagi negara kita ia malam yang genap
tetapi bagi negara yang puasa lewat atau awal satu hari, ia adalah malam
yang ganjil, jadi carilah dengan tekun pada 10 malam yang terakhir
tesebut.
SIAPAKAH YANG MENDAPAT LAILATUL QADAR?
1. Orang yang pasti mendapat sebahagian Lailatul Qadar ialah orang
yang solat Fardhu Maghrib dan Isyak secara berjamaah sepanjang bulan
Ramadhan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk solat Subuh
berjemaah. Sabda Rasulullah s.a.w. “Sesiapa yang sholat ‘Isya`
berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiyamulail separuh malam; Dan
sesiapa yang sholat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat
sepanjang malam.” (Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan
Nasai)
2. Solat tarawih adalah termasuk solat malam kerana ia dilakukan selepas
solat Isyak, orang yang solat tarawih dikira solat sunat pada malam
Lailatul Qadar, oleh itu tambahkanlah lagi bilangan rakaatnya pada 10
malam terakhir Ramadhan.
APAKAH DOA DAN AMALAN LAILATUL QADAR?
1. Bagi orang yang mendapat Lailatu Qadar ucapkanlah:
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، وَاعْفُ عَنّى وَعَنْ وَالِدَىَّ
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha
Pengampun), Suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah
(ampunkanlah) aku dan kedua ibu bapaku.”
2. Banyakkan solat, membaca al-Quran, doa dan zikir. Berdoalah juga
dengan lain-lain doa dalam bahasa kita untuk lain-lain kebaikan dunia
dan akhirat, janganlah berdoa sesuatu yang buruk.
3. Bacalah walaupun 1 ayat al-Quran sebelum tidur, kerana jika
berbetulan dengan malam Qadar pahalanya lebih baik daripada sekali
khatam al-Quran pada malam-malam lain. (sebaik-baiknya bacalah 10 kali
Surah Al-Ikhlas, iaitu Qul Huwallahu Ahad)
4. Bagi perempuan yang haidh atau nifas, ucapkan zikir-zikir di bawah:
سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلا إِلَهَ إلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
CUACA PADA MALAM LAILATUL QADAR
1. Cuaca malam Qadar sangat tenang dan tenteram, malaikat turun
berduyun-duyun sehingga melebih jumlah batu-batu kerikil di muka bumi
ini, mereka memberi salam dan aminkan doa mereka yang sedang beribadah,
samada solat, berdoa atau berzikir (perempuan yang sedang uzur, haidh
atau nifas, juga boleh berdoa dan berzikir walaupun tidak boleh solat).
2. Diriwayatkan dalam satu hadis Imam al-Bukhari, pernah berlaku
malam Qadar pada malam yang hujan. Oleh itu jangan abaikan malam yang
hujan kerana menyangka ia bukan malam Qadar. Hujan adalah rahmat dari
Allah Ta’ala.
CERITA GANJIL YANG BERLAKU PADA MALAM LAILATUL QADAR
Terdapat berbagai
cerita mengenai tanda-tanda malam Lailatul Qadar iaitu dapat disaksikan
kejadian yang ganjil-ganjil seperti air membeku, air berhenti mengalir,
pohon kayu tunduk rukuk dan sujud ke bumi dan sebagainya. Sebenarnya,
semuanya ini adalah cerita yang tidak dapat ditashihkan kebenarannya, ia
tidak disebut dalam al-Quran dan Al-Hadis, jadi ia bukan menjadi
pertanda ia malam Lailatul Qadar menurut ilmu agama, ia adalah
pengalaman rohani orang-orang tertentu yang sahaja. Lailatul Qadar tetap
berlaku tanpa tanda-tanda tersebut dan kelebihan yang dijanjikan oleh
Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang ini tetap diperolehi oleh
orang-orang yang beramal dengan amalan-amalan kebajikan pada malam
tersebut.